Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah
Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu
Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah adalah
seorang Raja yang penuh tuah dan penuh daulat.
Sebagai Raja yang memerintah dan dikasihi
rakyat jelata, Baginda cukup matang dalam
selok belok pemerintahan.
Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad
Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum
Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam
Shah kaya dengan berbagai pengalaman,
kebijaksanaan budi bicara, budi pekerti
yang bernilai tinggi, kasih akan rakyat
jelata, murah hati dan tangan terbuka
menghulurkan bantuan sedekah jariah
kepada fakir miskin dan yang memerlukan
bantuan.
Baginda juga amat
menghormati orang tua-tua, mengasihi
kanak-kanak dan peramah bertegur sapa.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan
Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni
Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin
Al-Mu'adzam Shah merupakan seorang Raja
yang penuh daulat dan kebesaran apabila
bersemayam di atas singgahsana tahkta
Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur
pada hari-hari perayaan beristiadat
di Balairung Seri atau di mana-mana
majlis rasmi.
Baginda juga kuat
berpegang dan beramal dengan Adat
Istiadat Diraja. Baginda memberi
perhatian bersungguh-sungguh terhadap
bagaimana adat istiadat itu disempurnakan
dan dilaksanakan. Baginda juga
adalah pelindung adat resam Melayu,
cinta kepada seni dan berminat kepada
sastera. Titah-titah Diraja, Warkah-warkah
Perutusan Diraja yang berunsur sastera
berbunga-bunga, berseloka dan gurindam
menjadi kegemaran Baginda.
Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji
Ahmad Shah Al-Musta'in Billah
adalah seorang pemerintah yang
cekap dan pintar apabila berhadapan
dengan pemimpin-pemimpin kerajaan
dan pegawai-pegawainya.
Baginda
memberi petunjuk, menegur, memberi
pandangan dan menasihati terhadap
apa-apa masalah dan mengatasi
masalah dengan tegas, berkesan
dan berterus-terang.
Baginda juga
memberikan perhatian serta mendengar
dengan penuh teliti segala rayuan
dan keluhan rakyat jelata apabila
mengadakan dan menemui mereka
semasa lawatan-lawatan dan juga
yang datang sembah di mana-mana
Baginda berada.